PARLIMEN | Walaupun isu pelarasan pencen bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 masih dalam proses perundangan, kerajaan tetap komited menjaga kebajikan mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, prinsip kerajaan adalah menghormati keputusan mahkamah, namun tidak mengabaikan keperluan anggota pertahanan.
“Bila sesuatu perkara sudah dibawa ke mahkamah, kerajaan dan kementerian akan akur apa sahaja keputusan.
“Namun, dalam masa sama kita tetap melihat aspek kebajikan anggota pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, yang mempersoalkan mengapa isu pelarasan pencen tidak dibawa ke Majlis Angkatan Tentera (MAT) untuk dibincangkan.
Adly turut memaklumkan bahawa kerajaan tetap menyalurkan bantuan sara hidup sebanyak RM500 sebulan kepada veteran ATM yang tidak berpencen, meskipun mereka tidak layak mengikut peraturan sedia ada.
“Mengikut peraturan, mereka hanya menerima wang simpanan daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
“Tetapi atas dasar ehsan Kerajaan Madani, Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan memutuskan untuk memberi bantuan sara hidup RM500 sebulan kepada mereka,” katanya lagi.
Langkah ini, katanya, membuktikan bahawa kebajikan veteran kekal menjadi keutamaan kerajaan, bukan hanya terhad kepada isu yang sedang dibicarakan di mahkamah.
“Kalau isu mahkamah, kita hormati prosesnya.
“Tetapi dalam masa sama, kebajikan anggota pertahanan tetap menjadi agenda utama,” tegas beliau.