PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian sebagai langkah segera untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.
Menurut KPM, audit itu akan memberi fokus kepada tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan.
Laporan lengkap hasil audit dijadualkan untuk dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, KPM turut akan menyemak semula semua SOP keselamatan dan garis panduan disiplin agar kekal relevan dengan cabaran semasa.
Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh ekosistem sekolah yang selamat dan bebas daripada salah laku termasuk buli, KPM turut mengumumkan beberapa inisiatif tambahan.
“Antaranya ialah penambahbaikan terhadap sistem aduan sedia ada seperti portal Aduan Buli yang akan dilengkapi dengan fungsi laporan tanpa nama bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
“Satu jawatankuasa reformasi keselamatan akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dasar keselamatan secara berterusan.
“Jawatankuasa ini akan melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), polis serta wakil komuniti ibu bapa dan swasta (PIBKS),” katanya.
Dalam pada itu, KPM turut memperkenalkan program intervensi khas ‘Bangkit Bermaruah’ yang dirangka khusus untuk murid yang digantung sekolah.
Program itu bertujuan membantu membentuk sahsiah diri murid melalui penglibatan dalam aktiviti khidmat komuniti.








