PETALING JAYA: Pembinaan sekolah menegak yang terletak dalam kawasan pembangunan atau berhadapan dengan residensi, disambung terus melalui jejantas demi kemudahan dan keselamatan pelajar, cadang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cadangan itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, selepas memanggil pemaju bersama kementerian dan agensi berkaitan untuk membincangkan pelaksanaan sekolah menegak.
“Walaupun terdapat sekolah rendah berdekatan, kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.
“Justeru saya telah mencadangkan agar wujudnya sekolah menegak dalam kawasan pembangunan atau pembinaan sekolah berhadapan residensi yang disambung jejantas,” katanya.
Selain itu, Anwar turut berkata, sekolah tersebut harus dibuka kepada semua penduduk setempat dan dilengkapi dengan kemudahan berasaskan kerangka Madani seperti tadika, surau, klinik dan pusat keselamatan.
“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa cadangan pembinaan sekolah menegak telah dibincangkan dan mendapat sambutan positif daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), susulan cadangan awal oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Libat urus dengan pelbagai pihak telah dijalankan bagi merealisasikan cadangan ini yang dilihat sebagai langkah inovatif dalam pembangunan pendidikan bandar.