KPM Tegas Tidak Akan Lindungi Pembuli, Sedia Beri Kerjasama Penuh

PARLIMEN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan buli di sekolah termasuk dalam kes menyayat hati melibatkan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut garis panduan sedia ada dan KPM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan.

“KPM tidak berkompromi terhadap isu buli. Kita tidak akan dan tidak pernah cuba melindungi sesiapa.

“KPM sedia bekerjasama dengan pihak polis dalam memberi bantuan siasatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan–Semporna) yang membangkitkan isu peningkatan kes buli di sekolah termasuk kes Allahyarham Zara.

Dalam soalannya, Mohd Shafie berharap tiada pihak berkuasa melindungi pelaku dan mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah sebagai langkah pencegahan.

Beliau turut menyarankan agar Jawatankuasa Disiplin sekolah diuruskan oleh badan bebas dan bukan oleh PIBG atau guru.

Menjawab soalan asal Mohd Shafie, Kah Woh turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan 389 projek pembangunan semula sekolah daif di Sabah dengan kos keseluruhan RM6.077 bilion sejak 2016 hingga Ogos 2025.

Daripada jumlah itu sebanyak 233 projek telah siap, 64 projek sedang dalam fasa pembinaan dan 92 projek berada pada fasa prabina.

Anda Mungkin Berminat