PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi pratonton khas filem epik Bollywood Taj Mahal: An Eternal Love Story sebagai tanda penghargaan terhadap persahabatan lamanya dengan pengarah tersohor, Akbar Khan.
Filem arahan Akbar Khan itu mengangkat kisah cinta agung Maharaja Mughal Shah Jahan dan isterinya Mumtaz Mahal, yang menjadi inspirasi kepada pembinaan monumen ikonik Taj Mahal di Agra, India.
Dengan sinematografi yang memukau dan lokasi penggambaran asli, karya itu menampilkan pelakon ternama seperti Kabir Bedi, Sonya Jehan, Manisha Koirala dan Arbaaz Khan.
Dilancarkan pada tahun 2005, filem ini pernah dianggap sebagai antara produksi Bollywood paling mahal ketika itu dengan bajet mencecah ₹500 juta.
Ia juga merupakan karya terakhir komposer legenda Naushad Ali, yang menyumbang skor muzik penuh emosi dan keindahan klasik.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, kisah berkenaan mengingatkan bahawa warisan seni, budaya dan sejarah adalah jambatan yang merentas zaman, menyatukan hati dan bangsa.
Kehadiran beliau bukan sahaja sebagai sokongan kepada seni dan budaya, tetapi juga sebagai penghormatan kepada nilai persahabatan dan warisan sejarah yang merentas sempadan.
Turut hadir dalam tayangan eksklusif tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy, Duta Poland Krzysztof Dobrowolski dan Timbalan Ketua Perwakilan Mesir, Fatma AlZahraa Hassan Abdelkawy, menandakan kepentingan diplomasi budaya dalam memperkukuh hubungan antarabangsa.








