Pembinaan lebuhraya WISE hanya bermula selepas syarat konsesi dipenuhi

PARLIMEN | Perjanjian konsesi Lebuhraya West Ipoh Span (WISE) hanya akan berkuat kuasa selepas syarikat terbabit memenuhi syarat yang ditetapkan, termasuk membuktikan sumber pembiayaan projek serta mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Trafik (TIA) dan Penilaian Kesan Sosial (SIA).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata projek itu kini berada pada peringkat memenuhi syarat yang dipersetujui dan proses pengambilan tanah hanya akan dimulakan selepas perjanjian konsesi berkuat kuasa.

“Projek ini akan membabitkan pengambilan 1,600 lot tanah dengan anggaran kos RM618 juta,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas), beliau menjelaskan proses pengambilan tanah perlu mematuhi Akta Pengambilan Tanah 1960, termasuk pewartaan di bawah Seksyen 4 bagi pembekuan koridor.

“KKR dan LLM akan membantu memudah cara urusan syarikat konsesi dalam proses pengambilan tanah dengan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Perak,” katanya.

Ahmad menambah, kerja pembinaan hanya akan bermula selepas semua urusan pengambilan tanah selesai, dengan pemantauan rapi oleh kementerian.

“KKR dan LLM akan memantau pelaksanaan pembangunan Lebuhraya WISE dengan teliti supaya ia dapat disiapkan sebagaimana dirancang,” jelasnya.

Lebuhraya WISE sepanjang 60 kilometer yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar diluluskan kerajaan pada Disember 2023.

Anda Mungkin Berminat