Guru sekolah memandu cedera diserang penunggang motosikal

BATU PAHAT: Seorang guru sekolah memandu cedera di dahi selepas diserang seorang lelaki di Jalan Muar–Batu Pahat, Johor, dalam kejadian yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu daripada mangsa berusia 56 tahun pada jam 7.24 malam, 12 Ogos lalu.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.20 tengah hari hari sama di Taman Mutiara, Parit Sulong, apabila suspek yang menunggang motosikal menahan kereta mangsa kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan.

“Suspek kemudian menumbuk cermin hadapan kereta mangsa sehingga retak. Mangsa meneruskan perjalanan ke hadapan Balai Polis Parit Sulong namun masih diekori suspek.

“Ketika kedua-duanya berhenti dan turun dari kenderaan, suspek menumbuk dahi mangsa sebelum beredar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 33 tahun di Parit Raja, Batu Pahat, untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu tular video kejadian tersebut memaparkan seorang penunggang motosikal marah dan menjerit terhadap mangsa yang memandu dalam sebuah kereta dipercayai bersama-sama pelajarnya.

Anda Mungkin Berminat