Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Kadar kes kehamilan remaja di bawah usia 18 tahun meningkat dari tahun ke tahun menjadikannya sebanyak 655 kes telah direkodkan pada tiga bulan awal tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, kurangnya literasi terhadap pendidikan seks dan kaedah melindungi diri daripada terjebak dengan kehamilan yang tidak dirancang jadi punca utama kian terjebak dengan gejala terbabit.
Nancy memaklumkan, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KPM) sebanyak 2,737 kes remaja hamil di bawah usia 18 tahun dilaporkan pada 2023 dan meningkat sedikit kepada 2,752 kes pada 2024 iaitu pertambahan 15 kes.
“Negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi pada dua-dua tahun tersebut adalah Sarawak, didikuti Sabah dan Pahang,” katanya.
“Kajian yang dijalankan oleh United Nations Population Fund (UNFPA) pada tahun 2022 bertajuk “SRH Investment for Human Capital in Malaysia” menyatakan bahawa Pendidikan Kesihatan Reproduktif yang komprehensif mampu mengurangkan kehamilan remaja sebanyak 49 peratus atau kira-kira 1,800 kelahiran hidup dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata demikian di sidang Parlimen Dewan Rakyat pada Rabu bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Doris Sophia Brodi berkenaan status peningkatan kes kehamilan dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun di setiap negeri dari tahun 2023 hingga suku pertama 2025.
Selain itu, faktor lain termasuk tekanan rakan sebaya, pengaruh media yang mendedahkan kandungan seksual secara terbuka, kemiskinan, keciciran sekolah, ketiadaan peluang pekerjaan, latar belakang keluarga dan gaya hidup juga dikenal pasti menyumbang kepada tingkah laku seksual berisiko.
Justeru, KPWKM menyeru semua agensi berkaitan untuk berganding bahu memperkukuh dan memperluas inisiatif holistik bagi meningkatkan kesejahteraan remaja di Malaysia.
Baca juga: