KUALA LUMPUR: UMNO menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap pengendalian kes kematian tragis Arwah Adik Zara Qairina Mahathir, yang disifatkan sebagai lemah dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diperakui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam kenyataan media rasmi selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, insiden itu bukan sahaja menyentuh hati rakyat, malah menimbulkan persoalan besar tentang ketelusan dan kecekapan sistem keadilan negara.
“UMNO amat dukacita dan cukup terhiris dengan tragedi kematian Arwah Adik Zara Qairina Mahathir.
“Pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan SOP biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.”
“Sebagai langkah susulan, UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan inkues penuh bagi menentukan punca sebenar kematian, termasuk sama ada wujud unsur jenayah.
“UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk Inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina,” katanya.
UMNO turut menegaskan bahawa proses inkues tersebut mestilah dikendalikan secara bebas dan telus, selaras dengan peruntukan undang-undang, demi memastikan keadilan yang sebenar-benar adil buat arwah dan keluarganya.
“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat Arwah Zara Qairina,” ujarnya lagi.







