PARLIMEN | Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk memohon maaf kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya dakwaan yang dibuat terhadap beliau sebelum ini didapati tidak sahih.
Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan bahawa beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat kesahihan sumber dakwaan tersebut sebelum membuat sebarang kesimpulan.
“Yang kedua yang dibangkitkan mengenai kenyataan saya di Parlimen, saya telah bawa kepada MCMC untuk mendapatkan kesemua keterangan yang berkenaan dan saya tidak ada masalah kerana kalau dia dipastikan tidak ada, sumber yang sahih.
“Itu satu kesilapan saya tidak ada masalah, jadi dengar saya dah minta MCMC mendapat penjelasan ada yang salah faham.
“Ada yang kata MCMC siasat Pagoh, tidak. Saya nak jelaskan sumber ini daripada satu, dua, tiga… tolong siasat satu, dua, tiga ini apakah sahih.
“Kalau tidak sahih maka memang benar kenyataan itu tidak benar, tapi biar tunggu keputusan MCMC dulu,” katanya.
Anwar menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, sambil menegaskan bahawa beliau tidak keberatan untuk mengakui kesilapan jika terbukti berlaku.
Namun, beliau turut menyentuh sikap blok pembangkang yang menurutnya sering melontarkan tohmahan tanpa sebarang penarikan balik atau permohonan maaf.
“Tetapi saya belum pernah dengar ketua pembangkang dan rakan-rakan di sana yang memfitnah berhari-hari minta maaf sepatah pun.
“Tang kita, Anwar, PMX zalim, tidak beri peruntukan kepada Kelantan.
“PMX gunakan hakim untuk menekan, PMX gunakan SPRM untuk membuat pendakwaan, hari-hari kita dengar. Tak ada pula nak sebut minta maaf, guna hadis pula pertahan. Guna pula qunut nazilah, tapi tak apalah.
“Tapi kalau semangat itu terpakai, saya tidak ada masalah. Ini baru sivil dalam hubungan kita, siapa yang cuba membawa kebaikan dan masing-masing ada kelemahan kita baikilah,” katanya.
Perdana Menteri turut mengkritik kecenderungan sesetengah Ahli Parlimen yang menggunakan ‘persepsi orang ramai’ sebagai asas hujah tanpa merujuk kepada fakta yang sahih.
“Tetapi tentang yang disebut oleh Ketua Pembangkang tentang persepsi. Kita di Parlimen ini dalam kerja kita cari dan guna fakta.
“Kalau benar, ya, ini persepsi, tuduhan kerana ini persepsi. ‘Orang ramai telah menyatakan’, orang ramai mana? Dalam isu sampai hubungan antarabangsa diperolok-olokan.
“Soal yang Sulawesi itu bagi saya serius, sebab saya tidak mahu hubungan antarabangsa dan tuntutan kita itu terjejas tetapi dipermainkan. Ada minta maaf? Tak ada, walaupun kita dah jelaskan,” ujarnya.
Anwar berkata, Parlimen harus menjadi medan perbahasan berasaskan fakta, bukan persepsi atau sentimen politik semata-mata.