PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan jumlah kelahiran hidup terendah pada suku kedua 2025 dengan hanya 93,435 bayi, menurun 7.1 peratus berbanding 100,558 kelahiran pada tempoh sama tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bayi lelaki mencatatkan kelahiran lebih tinggi iaitu 48,444 berbanding 44,991 bayi perempuan dengan nisbah 108 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Selangor merekodkan kelahiran tertinggi dengan 17,605 bayi manakala Wilayah Persekutuan Labuan terendah dengan 274 bayi. Secara purata, seorang bayi dilahirkan setiap minit atau 1,027 bayi sehari pada suku ini,” katanya.
Data mengikut etnik menunjukkan kelahiran dalam kalangan Melayu menyumbang 68.7 peratus, diikuti Bumiputera Lain sebanyak 12.9 peratus, Cina sebanyak 8.1 peratus dan India pula 3.8 peratus. Ibu berumur 30-39 tahun merekodkan kelahiran tertinggi iaitu 51.9 peratus daripada keseluruhan.
Bagi kematian, sebanyak 48,408 kes direkodkan pada suku kedua 2025, menurun 3.0 peratus berbanding tempoh sama 2024. Lelaki mencatatkan 27,607 kematian manakala wanita 20,801 kematian dengan nisbah 133 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Populasi Malaysia dianggarkan 34.2 juta pada suku kedua tahun ini, meningkat 0.5 peratus berbanding 34.1 juta tahun lalu. Komposisi penduduk warganegara ialah 90.1 peratus manakala bukan warganegara 9.9 peratus.
Dr. Mohd Uzir turut menjelaskan, penurunan kadar kelahiran adalah fenomena global, dengan banyak negara mencatatkan kadar kesuburan di bawah paras penggantian 2.1 anak setiap wanita.
“Ini cabaran besar kepada struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial,” ujarnya.
Laporan Perangkaan Demografi ini dikeluarkan setiap suku tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memaparkan perkembangan kelahiran, kematian dan penduduk negara.
Malaysia kini juga memegang tangga pertama dunia dalam Open Data Inventory 2024/25, mengatasi 197 negara lain.
Baca juga:;








