PETALING JAYA: Kira-kira 600 peluang pekerjaan baharu diwujudkan khusus untuk rakyat Pahang sebaik sahaja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) siap sepenuhnya pada 2027.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Sim Chon Siang berkata, jumlah itu sebahagian daripada 1,800 tenaga kerja yang diperlukan untuk fasa pengoperasian dan penyelenggaraan projek berkenaan.
“Antara jawatan ditawarkan termasuk juruteknik dan jurutera sistem rel, pegawai tiket, kru kereta api, pengurusan stesen, pegawai bertugas stesen, petugas isyarat, polis bantuan, pengurusan kargo dan lain-lain.
“Penempatan akan membabitkan stesen ECRL di Cherating, Kuantan Port City, KotaSAS, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong, selain di Pusat Kawalan Operasi (OCC) di Kuantan Port City serta depot dan pangkalan penyelenggaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Datuk Abd Aziz Mat Kiram (BN–Batu Talam) pada Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Menurut Sim, kerajaan negeri turut menghantar 66 pelajar ke Liu Zhou, China pada Mei lalu, diikuti 140 lagi pada awal September ini untuk mempelajari pemanduan kereta api sebagai persediaan tenaga mahir.
Menjawab soalan tambahan berhubung perancangan jajaran baharu ECRL dari Bentong ke Kuala Lipis, beliau memaklumkan perkara itu perlu dibawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut.
Baca juga:







