MITI & Selangor Aktifkan Semula Mesyuarat JBI Selepas Lebih 10 Tahun

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Industri (JBI) bersama Kerajaan Negeri Selangor, menandakan pengaktifan semula platform kerjasama itu selepas lebih sedekad terhenti.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mesyuarat membincangkan cadangan pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey yang dijangka menjadi pemacu baharu sektor logistik dan perdagangan negara.

Selain meningkatkan kapasiti pengendalian kargo, projek tersebut diyakini mampu menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia.

Turut dibincangkan ialah pembangunan Taman Industri, projek waste-to-energy, Taman Aero Selangor, inisiatif sektor nadir bumi serta penggunaan mekanisasi robotik dalam pembersihan industri.

“MITI akan terus berkolaborasi rapat dengan Kerajaan Negeri Selangor demi memastikan agenda pembangunan industri dapat dilaksanakan secara mampan,” katanya.

Beliau menegaskan inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan pembangunan ekonomi seimbang dan lestari.

Sempena Hari Kebangsaan ke-68, Tengku Zafrul turut menyeru warga MITI memupuk semangat patriotisme, di samping menyampaikan penghargaan kepada 72 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan 18 pesara MITI serta Jabatan Standard Malaysia.

Mesyuarat JBI antara MITI dan Kerajaan Negeri Selangor kali terakhir diadakan lebih 10 tahun lalu sebagai forum strategik membincangkan isu dan peluang pelaburan, perdagangan serta pembangunan industri di negeri tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat