BALING: Seorang lelaki berusia sekitar 40-an ditemukan maut di puncak air terjun Kampung Teluk Sanau awal pagi tadi, selepas dilaporkan hilang sejak petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 2.34 pagi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat.
“Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya.
Katanya, pasukan bomba yang tiba di lokasi terpaksa mendaki dan menyelusuri denai sejauh tiga kilometer untuk sampai ke puncak air terjun setinggi lebih sembilan meter.
Zulkhairi menjelaskan, proses membawa turun mayat mangsa mengambil masa hampir dua jam kerana laluan curam, batu licin, muka bumi tidak sekata serta hujan renyai yang menyukarkan pergerakan.
“Kerja membawa turun mayat menggunakan pengusung dan sistem tali mengambil masa hampir dua jam berikutan keadaan curam, batu licin, muka bumi tidak sekata serta hujan renyai,” katanya.
Operasi turut disertai oleh anggota polis, petugas KKM dan penduduk kampung dan ditamatkan pada pukul 6.23 pagi.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Difahamkan, mangsa masuk ke kawasan hutan untuk mencari petai dan sayuran kampung sebelum gagal dihubungi oleh adiknya, menyebabkan penduduk kampung melancarkan pencarian.