PETALING JAYA: Pemuda AMANAH menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap akhbar Sarawak Tribune, termasuk mempertimbangkan penutupan penerbitan tersebut.
Gesaan itu disuarakan oleh Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda AMANAH, Mus’ab Muzahar, susulan penyiaran tajuk berbaur fitnah terhadap wartawan Al Jazeera, Allahyarham Anas Al-Sharif, yang terbunuh dalam serangan Zionis di Gaza.
“Tajuk itu jelas cuba menggambarkan Anas sebagai militan.
“Lebih mengecewakan, permohonan maaf yang dikeluarkan langsung tidak menarik balik tajuk itu atau menyatakan penyesalan terhadap fitnah yang dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mus’ab turut mengecam tindakan akhbar tersebut yang dalam edisi sama memberi liputan istimewa kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, tanpa menyebut peranannya sebagai pelaku genosid.
“Malah, edisi yang sama turut memberi liputan istimewa kepada Benjamin Netanyahu tanpa menyebut peranannya sebagai penjenayah genosid yang bertanggungjawab atas kematian lebih 60,000 rakyat Palestin dan hampir 250 wartawan sejak 2023.
“Lebih mengecewakan, permohonan maaf yang dikeluarkan oleh Sarawak Tribune langsung tidak menarik balik tajuk tersebut atau menyatakan penyesalan terhadap fitnah yang dibuat,” tambahnya.
Semalam, Sarawak Tribune memohon maaf susulan laporan versi cetaknya mengenai kematian Anas, yang dilaporkan dengan tajuk kontroversi “Militant using press cover eliminated” (Militan guna identiti media dibunuh).
Akhbar itu mendakwa artikel berkenaan memenuhi piawaian ketepatan tinggi, namun menafikan ia mempromosikan naratif Zionis.
Allahyarham Anas, antara wartawan paling dikenali di Gaza, meninggal dunia bersama beberapa petugas media lain dalam serangan terancang Israel ke atas khemah wartawan di Gaza pada Ahad lalu.
Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua anak.
Mus’ab berkata, cubaan media tempatan menormalisasikan genosid melalui maklumat palsu adalah sangat berbahaya dan perlu dihentikan segera.
“Sejarah hitam Sarawak Tribune yang pernah ditutup kerana menerbitkan kandungan menghina Rasulullah SAW seharusnya menjadi iktibar.
“Insiden terbaru ini membuktikan kegagalan mereka memikul tanggungjawab kewartawanan secara beretika.
“Kebebasan media tidak boleh dijadikan perisai untuk menyebar fitnah dan memperkukuh naratif genosid,” tegas beliau.