JAKIM Nafi Dakwaan Jarang Audit Daging Import Australia

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya jarang menjalankan audit terhadap daging import dari Australia, sehingga kononnya menyebabkan rakyat Malaysia memakan daging yang tidak halal.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee menjelaskan bahawa video berdurasi beberapa minit yang kembali tular di media sosial baru-baru ini sebenarnya merupakan rakaman lama dari tahun 2022, yang mengandungi maklumat tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang ramai.

“JAKIM mempunyai mekanisme penilaian dan pemantauan halal yang komprehensif, diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk penilaian berterusan terhadap badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hanya produk daripada rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang telah disahkan halal oleh badan pensijilan luar negara yang diiktiraf serta diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan JAKIM, dibenarkan dieksport ke Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, JAKIM turut menempatkan Pejabat Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia, yang bertanggungjawab menjalankan pemantauan berkala terhadap rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang diluluskan.

“Dakwaan bahawa JAKIM tidak melaksanakan audit adalah tidak berasas kerana semua proses mengikut piawaian kedua-dua negara bagi menjamin hanya produk benar-benar halal sampai kepada pengguna,” tegasnya.

Sirajuddin turut menjelaskan bahawa pemeriksaan rapi dilakukan di pintu masuk negara oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum daging dibenarkan memasuki pasaran tempatan.

Beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya dan menasihatkan agar sebarang isu berkaitan halal dirujuk kepada pihak berkuasa yang berwibawa.

Anda Mungkin Berminat