DAP Selangor Kecam Tindakan Membuli, Patriotisme Bukan Provokasi

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han, hari ini mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Salleh yang disifatkan sebagai membuli dan menakut-nakutkan masyarakat berhubung insiden kibaran Jalur Gemilang secara terbalik oleh sebuah kedai perkakas.

Walaupun pemilik kedai telah memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan, Ng menyifatkan tindakan Akmal sebagai keterlaluan dan tidak mencerminkan semangat patriotik sebenar.

“Cinta negara seharusnya menyatukan, bukan memecahbelahkan.

“Kesilapan yang tak disengajakan wajar ditegur berhemah, bukannya dijadikan modal membakar sentimen kebencian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ng berkata, semangat cinta negara perlu dizahirkan melalui tindakan membina, bukan dengan meraih publisiti murahan.

“Patriotisme bukan sahaja mengenai pengibaran bendera dengan betul tetapi juga mesti dizahirkan melalui usaha membangunkan masyarakat, memperkukuh ekonomi dan mempererat hubungan antara kaum, bukan dengan memanipulasi isu untuk tujuan publisiti politik,” katanya.

Mengapi-apikan isu perkauman, menurut Ng, adalah satu pengkhianatan terhadap masa depan Malaysia.

“Keharmonian antara kaum adalah aset terbesar kita.

“Mengapi-apikan perkauman adalah pengkhianatan kepada masa depan negara,” ujarnya.

Oleh itu katanya, DAP Selangor menyokong penuh pendirian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bahawa penyalahgunaan bendera secara sengaja wajar dikenakan tindakan undang-undang.

Namun, katanya, tindakan mengugut atau memalukan orang awam bukanlah jalan penyelesaian.

“Tindakan mengugut atau memalukan orang awam bukannya penyelesaiannya, malah ia merosakkan semangat muhibah dan bertentangan dengan prinsip undang-undang,” katanya.

Sebagai langkah memperkukuh semangat patriotik secara positif, DAP Selangor akan melancarkan aktiviti pengedaran Jalur Gemilang oleh wakil rakyat, ahli majlis PBT dan ketua kampung.

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia, termasuk peniaga dan persatuan untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan berani sebagai cara untuk menyuarakan semangat patriotik dengan cara yang lebih matang dan positif,” seru beliau.

Dengan semangat perpaduan dan kematangan, DAP Selangor menyeru rakyat untuk bersama-sama memelihara keharmonian dan kemakmuran negara demi generasi akan datang.

Anda Mungkin Berminat