Saman Cabar Keabsahan PM Bukti PN Tiada Majoriti – Faiz Fadzil

PETALING JAYA: Tindakan mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri disifatkan sebagai bukti bahawa Perikatan Nasional (PN) gagal memperoleh sokongan majoriti untuk mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen.

Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, sokongan pembangkang terhadap pemfailan saman tersebut hanya menyerlahkan kelemahan mereka sebagai blok oposisi.

“Kalau benar ada majoriti, PN sudah lama mengusulkan undi tidak percaya.

“Tetapi kerana gagal, mereka menunggang isu mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Faiz turut membidas kenyataan Rafique Rashid dari Parti Pejuang dan P Ramasamy dari Parti Urimai yang mendakwa saman berkenaan sah kerana difailkan melalui proses mahkamah.

“Ini alasan remeh. Jangan lupa istilah salah guna proses mahkamah (abuse of process).

“Saman ini difailkan selepas tiga tahun Kerajaan Madani dibentuk. Perlembagaan jelas, pelantikan Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong,” tegas Faiz.

Beliau berkata, pembangkang kini ketandusan idea untuk menjadi oposisi yang matang dan konstruktif dalam membantu rakyat.

“Semasa PH jadi pembangkang, kita bentangkan belanjawan bayangan dan pelbagai cadangan ekonomi.

“Tetapi PN hanya sibuk persoalkan keabsahan PM ketika kerajaan sedang menumpukan kepada RMK-13. Ini tindakan regresif dan ibarat tin kosong,” katanya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022 dan telah memasuki tahun ketiga pentadbiran.

Namun, beberapa pihak masih mencabar keabsahan beliau meskipun pelantikan tersebut dibuat mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.

Anda Mungkin Berminat