MCMC Intelligence Chair Perkukuh Kepakaran AI di Malaysia

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara dengan memperkenalkan inisiatif baharu, MCMC Intelligence Chair, bertempat di Multimedia University (MMU).

Inisiatif ini dilancarkan bersempena dengan Majlis Perasmian Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Tun Canselor MMU, Cyberjaya hari ini.

Menurut Anwar, penubuhan MCMC Intelligence Chair akan membuka ruang kepada penyelidikan lanjutan, pembangunan bakat tempatan dan penghasilan inovasi AI yang lebih menyeluruh serta beretika.

“Langkah ini bukan sekadar meningkatkan kapasiti akademik, malah memperkukuh jalinan antara kerajaan, industri dan universiti dalam memacu pembangunan digital negara. Malaysia mesti bersedia bukan hanya sebagai pengguna AI, tetapi sebagai peneraju inovasi serantau,” katanya.

Melalui kerjasama ini, MMU akan menjadi pusat rujukan utama bagi penyelidikan AI, termasuk dalam bidang pengkomputeran awan, automasi, data raya serta kecerdasan buatan gunaan (Applied AI). Ia turut dijangka melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri dan bersedia menghadapi cabaran global.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa usaha MCMC ini selari dengan agenda MADANI dan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026–2030, yang menekankan pembangunan digital berasaskan etika, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.

Dengan adanya MCMC Intelligence Chair, Malaysia dilihat berada di landasan kukuh untuk mengangkat keupayaan AI ke tahap lebih tinggi, sekali gus menambah nilai terhadap daya saing negara di pentas global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat