Peruntukan RM37 Juta, AIX Bakal Menempatkan 13 Makmal AI Bertaraf Dunia

CYBERJAYA: Malaysia bakal memiliki kemudahan penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan (AI) yang lebih komprehensif dengan pelancaran AI Transformation Centre (AIX) di Multimedia University (MMU), Cyberjaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) di MMU hari ini berkata, AIX yang dibangunkan hasil pelaburan bersama bernilai RM37 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan MMU akan menempatkan 13 makmal AI bertaraf dunia.

“Ini bukan sekadar sebuah kemudahan, tetapi pelantar untuk idea, bakat dan inovasi yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan,” katanya.

Makmal berkenaan dijangka berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan AI melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan akademia.

Ia akan memberi tumpuan kepada bidang seperti automasi, pengkomputeran awan, data raya, kecerdasan buatan gunaan (Applied AI) serta aplikasi merentasi pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, kewangan dan pertanian.

Perdana Menteri menegaskan, inisiatif ini selari dengan agenda MADANI dan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026–2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan inklusif, tadbir urus beretika dan keterangkuman digital.

Penubuhan FAIE dan pelancaran AIX dianggap sebagai mercu tanda penting perjalanan negara ke arah kecemerlangan digital, sekali gus memacu inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat