PUTRAJAYA: Perdagangan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan positif setakat Julai 2025 dengan jumlah dagangan meningkat 3.8 peratus kepada RM265.9 bilion berbanding RM256.2 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu dipacu oleh eksport yang melonjak 6.8 peratus kepada RM140.4 bilion, manakala import mencatatkan pertumbuhan marginal 0.6 peratus dengan nilai RM125.5 bilion.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan eksport banyak disumbangkan oleh penghantaran semula yang meningkat 42 peratus kepada RM37 bilion. Namun, eksport domestik menurun 1.9 peratus kepada RM103.4 bilion.
“Lebihan dagangan meningkat 120.7 peratus kepada RM15 bilion, sekali gus merekodkan lebihan dagangan selama 63 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Eksport lebih tinggi didorong oleh barangan elektrik dan elektronik, jentera, produk berasaskan minyak sawit, makanan diproses serta bijih logam. Import pula disokong oleh kemasukan barangan elektrik & elektronik, petroleum mentah dan barangan optik serta saintifik.
Dari segi rakan dagangan, eksport meningkat ke Singapura, Taiwan, Mexico, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Emiriah Arab Bersatu manakala import lebih tinggi direkodkan dari Taiwan, China, Korea Selatan, Vietnam dan beberapa negara Teluk.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, jumlah dagangan meningkat 4.7 peratus kepada RM1.7 trilion, dengan lebihan dagangan bernilai RM70.3 bilion, meskipun lebih rendah 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15. Malaysia juga mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama global dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, melonjak dari kedudukan ke-67 pada 2022/23.
Baca juga: