Agong Berkenan Pandu Sendiri Tren ETS Ke Rawang

PETALING JAYA: Dalam satu detik bersejarah yang penuh simbolik, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur ke Rawang, Selangor, hari ini.

Menurut hantaran di Facebook baginda, Seri Paduka berangkat tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada pukul 9.15 pagi sebelum melangkah ke kokpit ETS2 untuk memulakan perjalanan istimewa itu.

Sebelum memulakan pemanduan, Sultan Ibrahim menerima taklimat khas daripada Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali.

Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah Ketua Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah dan Inspektor Lokomotif, Kamal Asmawi.

Mengiringi Seri Paduka dalam perjalanan pergi dan balik dari Kuala Lumpur ke Rawang ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan serta Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin.

“Pemanduan berkenaan mengambil masa selama sejam secara keseluruhan,” kata kenyataan itu.

Lebih membanggakan, Sultan Ibrahim turut mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai Sultan pertama di negara ini yang memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26, diperoleh pada tahun 2010.

Baginda juga pernah memandu kereta api semasa program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010), memperlihatkan minat mendalam terhadap pengangkutan rel.

Terdahulu, Seri Paduka telah menjalani latihan intensif termasuk prosedur ‘turn table’ untuk memusingkan lokomotif seberat 86 tan dalam masa 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan.

Kejayaan itu menjadikan baginda Sultan pertama yang memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.

Anda Mungkin Berminat