CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan seorang individu yang menyamar sebagai pakar patologi di TikTok, menggunakan nama akaun ‘Datuk Prof Dr Tunku Iskandar’.
Menurut kenyataan MCMC, suspek dikesan berhampiran kawasan Kota Damansara lewat malam semalam, hasil maklumat daripada dua saksi yang turut menyertai sesi TikTok Live bersama individu berkenaan.
“Suspek mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarhamah Zara Qairina.
“Namun, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan beliau bukan seorang pakar patologi,” jelas MCMC.
Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan.
Peralatan komunikasinya turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
MCMC berkata, penyebaran maklumat palsu terutamanya yang melibatkan isu sensitif seperti kematian atau tragedi, adalah satu kesalahan serius.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” kata suruhanjaya itu.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam masa yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan di bawah beberapa peruntukan undang-undang lain, termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Insiden ini tercetus selepas video tular di TikTok menunjukkan individu berkenaan mendakwa dirinya terlibat dalam siasatan bedah siasat kematian Zara Qairina.