KOTA KINABALU: Tragedi yang menimpa pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, terus menjadi perhatian nasional apabila lima remaja perempuan bawah umur didakwa atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.
Mahkamah Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu menetapkan 25 September 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, selepas kesemua tertuduh tampil mengaku tidak bersalah dalam prosiding tertutup yang berlangsung pada Rabu.
Mahkamah turut membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang, dengan seorang penjamin warga tempatan.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13 tahun, ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada pagi 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya.
Kelima-lima tertuduh didakwa melakukan perbuatan mencela di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, antara pukul 10 malam dan 11 malam pada 15 Julai.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Oleh kerana kes ini melibatkan remaja bawah umur, prosiding dijalankan secara tertutup dan tertakluk kepada Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, yang melarang pendedahan identiti tertuduh dan butiran prosiding kepada umum.
Peguam keluarga Zara, Hamid Ismail, turut memohon maaf kerana tidak dapat memberikan maklumat lanjut berikutan perintah larangan mahkamah.
Sementara itu, prosiding inkues bagi menyiasat punca sebenar kematian Zara Qairina dijadualkan bermula 3 September dan berlangsung selama 19 hari.