KULAI: Malaysia kini mengorak langkah besar dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila YTL Power International Bhd memeterai kerjasama strategik dengan gergasi teknologi global, NVIDIA bagi membangunkan hab AI serantau berasaskan tenaga hijau di Kulai, Johor.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, projek mega bernilai RM10 bilion itu akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan AI ASEAN, selain membangunkan model bahasa raya (LLM) berdaulat negara.
“YTL adalah salah satu daripada lima rakan rasmi NVIDIA Cloud Partner bersama Amazon Web Services (AWS), Google Cloud, Microsoft Azure dan Oracle Cloud.
“Malaysia, melalui YTL, merupakan satu-satunya rakan strategik di luar Amerika Syarikat.
“Kerjasama ini akan melonjakkan Malaysia di peta global, merangsang pertumbuhan bakat serta kepakaran tempatan dan menjana peluang pekerjaan berteknologi tinggi seperti saintis data dan jurutera AI,” katanya ketika melawat tapak YTL Green Data Centre Park di sini, hari ini.
Beliau menegaskan inisiatif tersebut selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi digital negara, memacu inovasi dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi hijau di rantau ini.
“Dari potensi, kita jadikan realiti,” katanya.