Ucapan Terakhir Frank Caprio, ‘Hakim Paling Baik Di Dunia’

AMERIKA SYARIKAT: Dunia kehakiman dan jutaan hati di seluruh dunia berkabung atas pemergian Hakim Frank Caprio, yang meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat kanser.

Susuk yang digelar sebagai ‘hakim paling baik di dunia’ itu dikenang bukan hanya kerana keadilan yang ditegakkannya tetapi juga kerana sifat belas kasihan yang menjadi teras setiap keputusannya.

Pemergian beliau pada Rabu meninggalkan kesan mendalam khususnya dalam bidang kehakiman Amerika Syarikat, di mana pendekatannya yang penuh empati telah mengubah persepsi masyarakat terhadap sistem perundangan.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Caprio sempat menitipkan ucapan menyentuh hati kepada orang ramai.

“Tahun lalu, saya meminta kamu semua untuk mendoakan saya dan ternyata memang kamu lakukan kerana saya berjaya melalui satu tempoh yang sangat sukar.

“Malangnya, kesihatan saya kembali merosot. Saya kini kembali di hospital dan saya sekali lagi memohon kepada kamu semua agar ‘selitkan’ saya dalam doa kamu sekali lagi,” katanya yang dilihat terlantar di katil dalam sebuah video.

Caprio mula meraih populariti melalui rancangan YouTube Caught in Providence yang memaparkan interaksinya dengan orang awam semasa mengendalikan kes-kes ringan di Mahkamah Perbandaran Providence.

Dalam setiap episod, beliau tampil seperti seorang bapa penyayang yang menegur dengan lembut, mendengar dengan sabar dan menghukum dengan belas kasihan.

Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Mahkamah Perbandaran Providence, Rhode Island dan juga sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor negeri tersebut.

Dalam satu hantaran rasmi di Instagram miliknya, keluarganya memaklumkan pemergian mendiang dengan kata-kata penuh penghormatan.

“Dikenang kerana sifat belas kasihan, rendah hati dan keyakinannya terhadap kebaikan manusia, Hakim Caprio telah menyentuh kehidupan jutaan orang menerusi kerjayanya di mahkamah dan di luar.

“Beliau (Caprio) akan dikenang bukan sahaja sebagai hakim yang dihormati tetapi juga sebagai suami, bapa, datuk, moyang serta sahabat yang penyayang.

“Legasi beliau akan terus hidup melalui pelbagai amalan kebaikan yang diilhamkannya.

“Demi menghormatinya, semoga kita berusaha menambah sedikit lagi sifat belas kasihan dalam dunia ini seperti yang dilakukannya setiap hari,” katanya.

Anda Mungkin Berminat