Guru mengaku tidak bersalah sebar berita palsu Zara Qairina

PETALING JAYA: Seorang guru Bahasa Inggeris, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan menyebarkan hantaran palsu di aplikasi TikTok berkaitan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, awal Ogos lalu.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut kertas pertuduhan, Siti Hajar didakwa memuat naik hantaran melalui akaun TikTok miliknya, menggunakan nama pengguna SHA Abrienda (@btsarmyshas07) pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1.20 petang.

Hantaran itu kemudiannya dilihat seorang anggota polis, Wong Yew Zhung, di KLIA2, Sepang, yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam serta mendorong orang lain melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam bela, Zaiful Bahrain, memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh berkhidmat sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, berpendapatan sekitar RM5,000 sebulan, serta menanggung lima ahli keluarga termasuk tiga anak yang masih bersekolah dan ibu bapa uzur.

“Anak guam tidak pernah dituduh sebelum ini, menyerah diri kepada polis dan hadir sendiri ke mahkamah. Tiada risiko beliau melarikan diri,” katanya pada Khamis.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar, memohon jaminan bersesuaian dengan mengambil kira kesalahan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, polis membuka 15 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu mengenai kematian pelajar tingkatan satu itu, termasuk dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Pada 13 Ogos lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 39 tahun di Rawang kerana dipercayai menyebarkan maklumat palsu berhubung kes sama, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut mendedahkan bahawa guru terbabit mengakui hantaran TikTok mendakwa Zara Qairina mati akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh hanyalah sekadar “content”.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat