Kerajaan MADANI perkukuh TVET, sasar 1.2 juta pekerjaan baharu

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada tenaga mahir negara yang menjadi pemangkin utama pembangunan, termasuk individu seperti Mohd Kamal Dali yang banyak menyumbang kepada kemajuan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif kerajaan memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Kerajaan MADANI konsisten memperkukuh TVET agar relevan dengan keperluan semasa, termasuk bidang digital, teknologi tinggi, serta memperluas akses kepada golongan luar bandar, asnaf dan komuniti tahfiz,” katanya.

Menurut beliau, kadar kebolehpasaran graduan TVET amat memberangsangkan apabila 95.6 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 212,000 kemasukan baharu dicatatkan dalam program TVET. Kerajaan turut menyasarkan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu, termasuk 700,000 dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital.

Anwar yakin pendekatan ini akan memberi impak besar kepada ekonomi negara, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pusat teknologi serantau.

TVET mula diberi penekanan sejak beberapa dekad lalu bagi memenuhi permintaan industri.

Namun, di bawah pentadbiran MADANI, ia diperkukuh dengan kerjasama syarikat gergasi global, usaha penyelarasan kurikulum, serta insentif bagi menarik penyertaan lebih ramai belia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat