PETALING JAYA: Pemuda AMANAH menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan insentif baharu untuk meningkatkan motivasi guru selepas laporan menunjukkan lebih 19,000 guru memilih persaraan awal sejak 2022.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Danial Al-Rashid berkata angka itu membimbangkan kerana kehilangan minat terhadap profesion keguruan boleh menjejaskan masa depan pendidikan negara.
“Guru adalah tunjang utama pendidikan. Jika mereka hilang semangat, generasi muda yang akan menerima kesannya. Kita perlu pendekatan menyeluruh untuk memulihkan minat guru,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Antara cadangan utama ialah pemberian insentif kewangan dan laluan kerjaya lebih jelas termasuk elaun tambahan bagi guru berkhidmat melebihi 15 tahun serta peluang kenaikan pangkat lebih pantas kepada guru cemerlang.
Selain itu, beban kerja bukan mengajar juga perlu dikurangkan dengan menyediakan staf pembantu bagi tugasan perkeranian agar guru boleh menumpukan perhatian kepada pengajaran.
Pemuda AMANAH turut menekankan kepentingan peningkatan kompetensi digital dan profesional menerusi latihan berterusan serta pengiktirafan nasional untuk guru yang berjaya melaksanakan inovasi.
“Ini bukan sekadar soal imbuhan, tetapi soal mengembalikan rasa bangga menjadi seorang guru. Masa depan pendidikan bergantung kepada sejauh mana kita menghargai pendidik,” katanya.
Isu kekurangan guru akibat persaraan awal berpunca daripada beban tugas, kurang pengiktirafan dan tekanan kerja. Cadangan insentif ini penting bagi memastikan profesion keguruan terus relevan dan dihormati.
Baca juga: