Kisah hidup Siti Nurhaliza diabadi dalam buku teks sekolah Filipina

Oleh: Aliyaa Azmi

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali lagi mencuri perhatian apabila kisah hidupnya diangkat dalam buku teks sekolah di Filipina, sekali gus meneguhkan kedudukannya sebagai ikon muzik Asia.

Perkara itu terbongkar apabila seorang pengguna dipercayai rakyat Filipina meninggalkan komen di laman TikTok Siti Nurhaliza, bertanyakan sama ada penyanyi tersohor itu adalah tokoh seni yang dipaparkan dalam buku teks mereka.

Tidak lama kemudian, komen itu diikuti pengguna lain yang berkongsi helaian buku teks berkenaan, mengesahkan nama Siti disebut sebagai bahan pembelajaran rasmi di negara itu.

Menariknya, Siti yang terkenal dengan sikap rendah hati hanya membalas komen itu dengan simbol hati merah, namun ia sudah cukup membuatkan peminat teruja.

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa bangga.

“Bangga Malaysia ada ikon sehebat Siti Nurhaliza,” tulis seorang warganet.

“Ini bukti Siti memang legenda di Asia Tenggara.” kata warganet yang lain.

Malah, ada juga yang menekankan bahawa pencapaian ini membuktikan pengaruh besar penyanyi nombor satu Malaysia itu di pentas serantau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat