Masjid, surau KL diseru solat hajat dan Qunut Nazilah untuk Gaza hari ini

PETALING JAYA: Semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan diarahkan mengadakan Solat Hajat serta bacaan Qunut Nazilah secara serentak selepas Solat Jumaat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, arahan itu membabitkan masjid dan surau di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau menjelaskan, inisiatif itu adalah manifestasi doa dan solidariti umat Islam Malaysia terhadap rakyat Gaza yang kini berdepan krisis kemanusiaan paling parah.

“Kebuluran semakin memuncak, hospital lumpuh dan angka korban terus meningkat, majoritinya kanak-kanak serta wanita,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Solat hajat itu juga diadakan bersempena Himpunan Malaysiaku Bersama Gaza yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 24 Ogos ini.

“Kita tidak boleh berdiam diri ketika nyawa tidak berdosa terus diragut. Doa adalah senjata orang mukmin, namun ia mesti diiringi kesedaran dan tindakan bersama,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru seluruh umat Islam agar terus berdoa supaya rakyat Palestin diberikan kekuatan dan perlindungan, sekali gus mengakhiri kezaliman rejim Zionis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat