DOSM: Insurans dan perkhidmatan kewangan catat inflasi tertinggi

PUTRAJAYA: Inflasi Malaysia meningkat 1.2 peratus pada Julai 2025 apabila mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 134.7 berbanding 133.1 pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Peningkatan ini dipacu oleh kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan yang melonjak kepada 5.5 peratus berbanding 1.5 peratus pada Jun 2025. Kumpulan Restoran & Perkhidmatan Penginapan juga naik kepada 3.1 peratus, manakala kumpulan Pengangkutan meningkat 0.4 peratus.

Namun, inflasi kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang hampir 30 peratus wajaran IHP mencatat peningkatan lebih perlahan, 1.9 peratus berbanding 2.1 peratus pada bulan sebelumnya. Subkumpulan Makanan di luar rumah melonjak 4.3 peratus, manakala Makanan di rumah terus berada dalam jajaran negatif iaitu 0.3 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 58.3 peratus item mencatatkan kenaikan harga, namun hampir semua iaitu 96.4 peratus hanya meningkat kurang atau sama dengan 10 peratus.

“Bagi peringkat negeri, empat negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional iaitu Johor sebanyak 1.8 peratus, Selangor sebanyak 1.5 peratus, Negeri Sembilan sebanyak 1.4 peratus dan Melaka sebanyak 1.3 peratus. Kelantan pula merekodkan inflasi terendah dengan kadar sifar.” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan mencatatkan peningkatan ketara berikutan kenaikan caj premium insurans faedah hospital sebanyak 14.7 peratus.

Pada masa sama, harga purata ayam standard turun kepada RM10.25 sekilogram pada Julai 2025 berbanding RM10.35 tahun sebelumnya.

Secara bulanan, inflasi meningkat 0.1 peratus berbanding Jun 2025, dipacu oleh kenaikan kumpulan Insurans & Perkhidmatan Kewangan sebanyak 4.6 peratus serta Restoran & Perkhidmatan Penginapan sebanyak 0.8 peratus. Inflasi teras pula kekal pada 1.8 peratus.

Sebagai rekod, Malaysia kini mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) bagi memperkukuh kerjasama statistik serantau.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat