KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memberi amaran bahawa fitnah mengenai penjenamaan semula Tabung Haji (TH) boleh menggugat keyakinan pendeposit serta melemahkan kedudukan institusi kewangan Islam itu.
Menurutnya, TH kini menguruskan lebih 9.15 juta pendeposit dengan jumlah simpanan RM89 bilion pada 2023 serta aset bernilai RM95 bilion pada 2024. Katanya, kekuatan itu sepatutnya menjadi kebanggaan umat Islam, bukannya dijadikan sasaran serangan berasaskan sentimen politik.
“Isu penjenamaan semula bukan soal logo, tetapi strategi jangka panjang untuk mengekalkan daya saing TH berbanding institusi kewangan Islam lain yang agresif dalam pemasaran dan digitalisasi,” katanya.

Mengulas pelantikan syarikat bukan Islam dalam projek berkenaan, Dr Mujahid menegaskan ia selaras dengan prinsip syarak selagi tidak bercanggah dengan hukum, malah pernah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW hingga empayar Islam terdahulu.
Beliau juga menolak dakwaan kos penjenamaan semula sebagai pembaziran, sebaliknya menjelaskan jumlah sebenar hanyalah RM5.9 juta dan bukan RM20 juta seperti didakwa. Katanya, ia pelaburan strategik yang mampu menarik lebih banyak simpanan baharu.
“Fitnah sebegini boleh membawa kepada pengeluaran panik, menjejaskan subsidi haji bernilai ratusan juta ringgit dan akhirnya melemahkan ekonomi Islam itu sendiri,” tegasnya.
Dr Mujahid menyeru umat Islam menilai isu Tabung Haji secara rasional, bukan emosi, agar institusi itu terus relevan dan berperanan sebagai tonggak ekonomi umat serta hab kewangan Islam bertaraf dunia.
Baca juga: