Penjajahan Paling Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Di Gaza – Anwar

KUALA LUMPUR: Dataran Merdeka malam tadi menjadi saksi kepada lautan solidariti apabila puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun dalam Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza bagi menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus dizalimi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya mengecam kekejaman rejim Zionis dan menyifatkan apa yang berlaku di Gaza sebagai bentuk penjajahan paling zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Alhamdulillah, seluruh dunia melihat rakyat Malaysia bangkit bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan anak-anak kecil dan wanita serta menuntut keadilan yang telah dinafikan sejak puluhan tahun, tatkala tatanan dunia gagal memberi jaminan hidup sebagai manusia buat rakyat Palestin,” katanya.

Anwar turut menyentuh sejarah panjang penindasan terhadap rakyat Palestin termasuk perampasan tanah, pemusnahan rumah, sekolah, masjid dan gereja, sambil menyelar sikap dunia yang memilih untuk berpaling daripada penderitaan tersebut.

“Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Segalanya dirampas, tanah, rumah, keluarga, nyawa.

“Namun dunia yang mendabik dada tentang hak asasi dan demokrasi memilih untuk berpaling,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak pernah berpaling, malah sentiasa membawa suara Gaza ke pentas antarabangsa.

“Dalam setiap pertemuan antarabangsa, di Tokyo, Beijing, New Delhi, mahupun Eropah, tidak pernah saya lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza,” katanya.

Sebagai bukti komitmen berterusan, Anwar mengumumkan tambahan dana sebanyak RM100 juta bagi pihak Kerajaan MADANI untuk membantu rakyat Palestin, meliputi bantuan perubatan dan pendidikan.

Dalam semangat kemerdekaan, Anwar menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu dan menolak perpecahan, menjadikan perjuangan untuk Gaza sebagai kesinambungan semangat merdeka yang diwarisi daripada pejuang-pejuang terdahulu.

“Bulan ini bulan kemerdekaan kita. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu kini kita teruskan bersama Palestin,” ujarnya.

Beliau turut memberi penghormatan kepada aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini, membawa harapan dan bantuan dari rakyat Malaysia.

“Ingatlah, suara yang bergema malam ini bukan suara parti, bukan suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan.

“Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.

“Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian.

“Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya. Free Palestine!” katanya.

Anda Mungkin Berminat