PETALING JAYA: Dunia seni dan politik bertemu dalam satu momen bersejarah apabila vokalis legenda kumpulan Blues Gang, Mohd Arif Kendut atau lebih dikenali sebagai Ito, secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Titiwangsa.
Majlis penyerahan borang keanggotaan telah berlangsung pada 24 Ogos di Kings Hotel, Melaka, bersempena dengan Majlis Permukiman Hala Tuju PKR Cabang Titiwangsa.
Borang keanggotaan Ito diterima oleh Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang hadir sebagai tetamu kehormat.
“Parti Keadilan Rakyat Cabang Titiwangsa telah menerima permohonan Mohd Arif Kendut atau lebih dikenali sebagai Ito Blues Gang untuk menjadi anggota,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam majlis tersebut, Ito turut disarungkan sehelai kemeja berlogo PKR Wilayah Persekutuan sebagai simbol penerimaan rasmi ke dalam parti.
Menurut Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman, kemasukan Ito membawa nilai tambah kepada perjuangan parti khususnya dalam merapatkan hubungan antara dunia seni dan gerakan reformasi.
“Ito adalah reformis yang selama ini bergerak dibelakang tabir melalui dunia seni dan menyumbang karya-karya kearah perjuangan bagi membentuk saksiah masyarakat.
“Beliau (Ito) juga telah mengikuti Permukiman yang diadakan selama dua hari sebagai langkah awal persediaan untuk beliau lebih mengenali dunia politik,” katanya.
Kemasukan Ito ke Cabang Titiwangsa dilihat sebagai pemangkin semangat buat golongan seni untuk turut serta dalam usaha mempertahankan Kerajaan MADANI dan memperkukuh suara rakyat.
“Semoga dengan kemasukan beliau ke Cabang Titiwangsa ini akan menjadi nilai tambah buat Keadilan dan menjadi pemangkin semangat buat golongan seni untuk turut sama mempertahankan Kerajaan Madani” katanya.