PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador menghantar surat tuntutan kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menuntut agar beliau berhenti mengeluarkan kenyataan awam yang didakwa berunsur fitnah serta memohon maaf secara terbuka.
Surat tuntutan itu dihantar melalui firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co pada 22 Ogos, susulan kenyataan Rafizi dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook dua hari sebelumnya.
Dalam video tersebut, Rafizi mendedahkan pertemuannya dengan seorang pemberi maklumat yang mengaitkan Farhash dengan urus niaga syarikat tertentu.
Farhash menafikan dakwaan tersebut dan menuntut agar kenyataan itu ditarik balik serta permohonan maaf dibuat secara terbuka.
Namun Rafizi tidak berganjak dan mengesahkan menerima surat tuntutan itu dan menyatakan kesediaannya untuk berdepan di mahkamah.
Beliau turut memaklumkan bahawa peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri, akan mengendalikan kes tersebut.