PARLIMEN | Kerajaan akan merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 melalui sembilan prakarsa strategik berteraskan Malaysia MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ akan menjadi tunjang utama perancangan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
“RMK13 akan direalisasi melalui sembilan Prakarsa strategik,” katanya ketika berucap berkait RMK13 di Dewan Negara, hari ini.
Menurutnya, antara fokus utama RMK13 ialah menangani kos sara hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti pemberian Sara Rakyat (STR), Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Pakej Rahmah yang akan diteruskan bagi mengawal kenaikan harga makanan, utiliti dan kos pengangkutan awam.
“Prakarsa yang kedua adalah dengan memperkasa sistem sosial melalui pendidikan dan program perpaduan serta meningkatkan mutu kehidupan rakyat melalui penyediaan rumah mampu milik, reformasi kesihatan dan undang-undang perubahan iklim,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan turut memberi penekanan kepada peningkatan mutu kehidupan rakyat melalui keterjaminan makanan, penyediaan sejuta rumah mampu milik serta reformasi kesihatan negara.
“Dalam masa sama, projek tebatan banjir dan undang-undang perubahan iklim akan dilaksanakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap bencana,” ujarnya.
Anwar berkata, prakarsa keempat memberi tumpuan kepada pemerataan agihan ekonomi bagi mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang.
“Prakarsa ini menekankan pemerkasaan Bumiputera, Anak Negeri Sabah, Bumiputera Sarawak, masyarakat Cina dan India dan Orang Asli, di samping memperluas penyertaan wanita, warga emas dan OKU dalam ekonomi,” katanya.
Dalam usaha memperkasa teknologi dan pembangunan wilayah, Anwar berkata, kerajaan akan mempergiat pelaksanaan projek mega seperti ECRL dan Pan Borneo, serta memperkukuh kedudukan ekonomi global melalui Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura dan kerjasama serantau seperti Asia Zero Emission Community (AZEC).
“Prakarsa Memperhebat Penglibatan Malaysia di Persada Ekonomi Dunia. Melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Inisiatif ASEAN Power Grid dan Asia Zero Emission Community (AZEC),” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga komited mempercepat pendigitalan perkhidmatan awam melalui platform seperti GovTech dan MyDigital ID, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih tangkas, telus dan berkesan.
“Melalui pendigitalan perkhidmatan awam seperti GovTech dan MyDigital ID, pengukuhan integriti institusi serta pengurusan fiskal yang berhemat, kerajaan komited memastikan penyampaian perkhidmatan benar-benar memberi impak kepada rakyat,” katanya.