MOSTI Sasar Generasi Celik STEM Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI

KLANG: Anak-anak kita perlu disediakan dengan ilmu masa depan, itulah tekad Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) apabila melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI 2025 di Sekolah Kebangsaan Telok Gadong, Klang.

Program ini bakal memperkenalkan 11 inisiatif khusus bagi mengukuhkan penguasaan murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), di samping memberi pendedahan awal kepada literasi digital.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, negara perlu melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran dunia berasaskan sains dan teknologi.

“Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar baik pulih prasarana, tetapi menyediakan ruang pembelajaran baharu yang menyeronokkan.

“Kami mahu anak-anak seronok belajar STEM sejak bangku sekolah lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah penyerahan Sudut STEM bernilai RM25,000 kepada sekolah berkenaan.

Sudut khas itu diharap menjadi ruang pembelajaran interaktif yang mampu mencetus minat murid terhadap sains dan teknologi.

Selain itu, MOSTI turut menyalurkan peruntukan untuk pembangunan kurikulum, kerja-kerja baik pulih sekolah serta program pembangunan profesionalisme guru termasuk lawatan penanda aras.

Majlis peluncuran turut diserikan dengan Pertunjukan Sains, pameran Bas Sains Bergerak Pusat Sains Negara, aktiviti pencerapan matahari oleh Planetarium Negara, serta pameran ‘outreach Techlympic’ yang disertai murid-murid sendiri.

Hasnol juga meluangkan masa meninjau projek-projek Sekolah Angkat MADANI yang sedang dilaksanakan di sekolah itu sebagai tanda komitmen MOSTI dalam menjayakan inisiatif tersebut.

Dengan pelaksanaan program ini, SK Telok Gadong menjadi antara sekolah perintis dalam usaha MOSTI membentuk generasi celik STEM – generasi yang bakal menerajui masa depan negara.

Anda Mungkin Berminat