Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Tindakan segelintir individu yang menggunakan cerek elektrik hotel untuk merebus daging termasuk daging khinzir, mencetuskan kemarahan ramai selepas video insiden itu tular di media sosial.
Antara yang lantang bersuara ialah selebriti media sosial, Mek Yun, yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak beradab dan langsung tidak sensitif terhadap kepercayaan orang lain.
Mek Yun, atau nama sebenarnya We Yu Nee, meluahkan rasa kesalnya menerusi satu hantaran di media sosial, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menjijikkan.
“Kalau ada yang buat macam ni memang tak ada ‘common sense’, tak ada adab, tak ada hormat langsung pada orang lain.
“Bayangkan tetamu lain nak guna untuk bancuh kopi atau teh, terutama muslim yang langsung tak boleh guna sebab dah terkena daging khinzir.
“Itu satu penghinaan dan buat orang lain rasa tak selamat,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan seperti cerek elektrik disediakan untuk kegunaan asas seperti memanaskan air, bukannya untuk memasak makanan, apatah lagi daging yang boleh meninggalkan kesan lemak dan bau yang sukar dibersihkan.
“Tolonglah, jangan sesekali buat benda macam ni.
“Kalau diri sendiri tak reti jaga kebersihan, sekurang-kurangnya belajar untuk hormat orang lain,” katanya lagi.
Isu ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen, dengan ramai menyokong kenyataan Mek Yun dan menyifatkan tindakan terbabit sebagai tidak beretika serta mementingkan diri.
Ada yang berkongsi pengalaman serupa, termasuk menemui sisa makanan dan barangan peribadi dalam cerek hotel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan kemudahan awam.