KOTA BHARU: Presiden JCI Kota Bharu 2025, Dr Wong Lu Yang, digantung daripada menjalankan tugas selepas terpalit dengan kontroversi peribadi yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Dalam kenyataan rasmi, JCI Kota Bharu berkata, penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta dan jawatan beliau kini dipangku oleh ‘Immediate Past President’, Tan Zhi Qian.
Organisasi itu berkata, isu berkenaan adalah perkara peribadi, tidak mempunyai kaitan dengan misi mahupun aktiviti JCI.
“Perkara ini akan disemak secara dalaman dan tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan nilai organisasi kami.
“Kami mohon semua pihak berhenti menyerang halaman rasmi kerana ia menjejaskan semangat kesukarelawanan,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Dr Wong menerusi hantaran di laman Facebook miliknya mengakui kesilapan, memohon maaf secara terbuka kepada isterinya serta memohon agar orang ramai menghormati ruang keluarganya.
Beliau mendakwa telah bersedia sejak dua hingga tiga bulan lalu menghadapi kemungkinan penyebaran kandungan peribadi, namun mengakui keluarganya tetap terkesan dengan serangan berulang.
“Saya sekali lagi memohon maaf kepada isteri kerana membuatkan beliau terluka untuk kali kedua.
“Kami sekeluarga reda dan memilih untuk menghadapi perkara ini dengan tenang. Tolong jangan libatkan anak-anak,” katanya.
Beberapa portal hiburan turut melaporkan bahawa Dr Wong sebelum ini menerima gambar dan video yang dihantar kepada keluarganya sebelum ia tular di media sosial.
Beliau juga mengesahkan telah membuat laporan polis berhubung penyebaran bahan berkenaan serta tindakan buli siber yang dialaminya.
Insiden ini telah menarik perhatian besar dalam kalangan pengguna media sosial dengan sebahagian netizen mengecam tindakan peribadi Dr Wong, manakala sebahagian lain menyeru agar isu rumah tangga tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan organisasi dan khidmat masyarakat.








