PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025, menandakan satu anjakan besar dalam usaha memperkukuh tadbir urus dan ketelusan dalam pengurusan perolehan awam negara.
RUU tersebut diluluskan melalui undian belah bahagi dengan sokongan majoriti 125 Ahli Parlimen bersetuju, 63 menolak, 32 tidak hadir dan seorang tidak mengundi.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengumumkan keputusan itu selepas selesai proses undian yang berlangsung dalam suasana perbahasan hangat.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang menggesa penangguhan perbahasan dan meminta agar RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, namun cadangan tersebut ditolak.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan bacaan kali kedua semalam, menegaskan bahawa skandal besar seperti 1MDB dan Jana Wibawa menjadi bukti nyata keperluan undang-undang khusus bagi perolehan kerajaan.
“Ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam bukan lagi satu pilihan tetapi tuntutan yang mesti dilaksanakan demi memulihkan keyakinan rakyat,” katanya.
RUU ini digambarkan sebagai satu langkah berani dan menyeluruh, merangkumi 12 bahagian dan 93 fasal yang akan diguna pakai oleh kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak berkuasa tempatan di peringkat persekutuan dan negeri.
Antara elemen penting yang diperkenalkan termasuk penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali, mekanisme semak dan imbang terhadap keputusan Menteri Kewangan serta tindakan punitif terhadap ketidakpatuhan termasuk denda tiga kali ganda nilai kontrak dan hukuman penjara sehingga lima tahun.
RUU ini turut membawa Malaysia lebih dekat kepada piawaian antarabangsa seperti UNCITRAL Model Law on Public Procurement, dengan penekanan kepada tender terbuka, integriti dokumen dan penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).