PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara akan memperluaskan program Malaysiaku Merdeka yang menekankan aktiviti pengibaran Jalur Gemilang sepanjang tahun, dari Januari hingga Disember.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pelaksanaan program itu akan difokuskan di peringkat akar umbi menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kelab Rukun Negara (KRN) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN).
“Semangat cintakan negara tidak seharusnya terhenti selepas Ogos atau Hari Malaysia. Jalur Gemilang wajar berkibar di desa mahupun kota, di sekolah, universiti, pejabat kerajaan dan sektor swasta sepanjang tahun sebagai lambang penyatuan rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kebangsaan, pada Jumaat.
Menurut Aaron, budaya mengibarkan Jalur Gemilang perlu menjadi identiti nasional yang diwarisi generasi ke generasi, bukan sekadar ritual tahunan. Katanya, bendera kebangsaan bukan hanya simbol kedaulatan, tetapi juga manifestasi harapan, cita-cita dan kesatuan seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menegur insiden kebelakangan ini apabila Jalur Gemilang dipasang secara terbalik atau digunakan secara tidak wajar. “Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, ia simbol maruah negara. Kesilapan memperlakukan bendera boleh menimbulkan sensitiviti rakyat dan menjejaskan imej Malaysia di mata dunia,” tegasnya.
Sehubungan itu, Aaron menyeru semua pihak agar lebih peka dan bertanggungjawab. “Mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh hormat adalah manifestasi sebenar patriotisme,” katanya.
Baca juga:








