RUU PSB: BN gesa libat urus menyeluruh ketika penangguhan RUU

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa agar penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan libat urus yang lebih menyeluruh bersama semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN menyambut baik keputusan menangguhkan pembentangan dan pengundian RUU tersebut ke sidang parlimen di Dewan Rakyat pada Oktober depan, sejajar dengan gesaan awal yang telah disuarakan oleh parti itu.

Menurut beliau, BN telah mencadangkan beberapa peruntukan dalam RUU tersebut untuk diperhalusi semula, terutamanya melibatkan isu tahap persetujuan bagi projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif, serta penetapan nilai ambang yang berpotensi menjejaskan hak pemilik hartanah.

“Beberapa perkara yang dibangkitkan ini berisiko mengganggu hak autonomi negeri serta boleh menjejaskan kestabilan dan kesejahteraan komuniti yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, adalah penting untuk kerajaan memperluaskan proses rundingan dengan melibatkan kerajaan-kerajaan negeri, penduduk asal, serta pakar dalam bidang perancangan bandar bagi memastikan suara rakyat dari pelbagai lapisan diambil kira.

Beliau turut menekankan bahawa sebarang bentuk transformasi bandar tidak seharusnya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara adil, seimbang dan selaras dengan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun RUU ini penting untuk masa depan pembangunan negara, ia mesti dikaji secara mendalam agar benar-benar membawa manfaat yang menyeluruh kepada rakyat dan komuniti yang terlibat,” katanya.

Semalam, media melaporkan bahawa perbahasan dan pengundian bagi RUU PSB 2025 telah ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang yang dijadual berlangsung pada bulan Oktober ini.

Penangguhan itu dibuat susulan bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk wakil-wakil rakyat pembangkang serta beberapa Ahli Parlimen kerajaan sendiri daripada BN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat