Hari Kebangsaan: Kerajaan terus santuni rakyat, jamin keselesaan – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa makna sebenar kemerdekaan adalah kebebasan dan yakin dengan kekuatan yang ada pada Malaysia.

Menerusi ucapan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 pada Sabtu, Anwar menekankan bahawa kerajaan akan terus menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera yang ada bagi menyantuni rakyat serta mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat.

“Guna seluruh kekuatan jentera-jentera kita, menyantuni rakyat mengurangkan tekanan, menjamin keselesaan,” katanya.

Menyentuh mengenai amalan ketirisan, Anwar menekankan bahawa sebarang amalan tidak sihat termasuk sikap tamak haloba serta keinginan mengaut kekayaan tanpa mengikut peraturan mesti dihentikan segera.

“Amalan-amalan sama ada sikap bobrok ataupun keinginan untuk mengaut kekayaan luar daripada peraturan mesti dihentikan.

“Saya tekan tadi, amanah-amanah yang saya berikan, dan ketika mana persidangan-persidangan seperti ini saya tegaskan, kerana masih ada ruang untuk (negara) perbaiki,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menjelaskan pengertian di sebalik makna kemerdekaan dari sudut kerohanian, bahawa walaupun negara ini bebas dan rakyat berhak berbangga dengan kekuatan yang dimiliki, mereka harus tetap sedar bahawa manusia adalah hamba kepada Allah S.W.T.

“Merdeka ini bermakna bebas, dan yakin dengan kekuatan kita, dan saya mengingatkan dalam Al-Quran, menyatakan bahawa dalam bangga kita dan hebat kita, kita juga adalah hamba tuhan,” katanya.

“Kita adalah hamba tuhan dan kalau kita ingatkan itu, mulia, hebat, kaya, berkuasa, tapi macam mana pun kita itu hanyalah hamba, Hamba kepada Allah,” tambah beliau.

“Hamba tuhan itu kecil, hina dan hanya kepada Allah SWT.”

Tegas beliau lagi, tidak kira betapa besar kuasa, pengaruh atau kekayaan yang dimiliki oleh seseorang, ia tidak mengubah hakikat bahawa manusia hanyalah hamba Tuhan.

“Ingat betapa kaya, berkuasa, berpengaruh, hebat di mana-mana jabatan atau negara, kita itu hanyalah hamba tuhan.”

Beliau turut optimis bahawa seorang hamba Tuhan yang berada di landasan yang betul mampu melangkah dengan yakin dalam menghadapi sebarang cabaran hidup.

“Tapi hamba tuhan ini kalau berada landasan yang betul, dia boleh jalan dengan yakin dan kita hamba tuhan kita merdeka kita tidak gentar, lari dan tempuh, rintangan berdasarkan prinsip dan kekuatan ini, iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat