KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai gangguan bekalan telur di pasaran selepas penamatan sepenuhnya subsidi telur bermula 1 Ogos lalu.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, pemantauan bekalan dilakukan setiap hari bagi memastikan ia kekal mencukupi.
“Setakat ini kita tidak terima aduan kekurangan telur. Harga juga masih terkawal kerana masih ada harga siling yang ditetapkan. Jika terdapat isu bekalan, ia mungkin bersifat setempat, dan kita minta orang ramai segera melaporkan kepada KPDN,” katanya, memetik berita tempatan pada Sabtu.

Penamatan subsidi telur diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) selepas mengambil kira faktor kestabilan kos pengeluaran serta jaminan bekalan industri. KPKM turut memberi jaminan harga pasaran telur ayam akan terus terkawal.
Sementara itu, menyentuh mengenai penebusan Subsidi Asas Rakyat Malaysia (Sara) Rahmah untuk 22 juta penerima yang bermula esok, Fuziah berkata Kementerian Kewangan telah dimaklumkan mengenai keperluan menambah terminal khas bagi melancarkan proses tersebut.
“Sebelum ini terdapat kira-kira 4,000 terminal Sara disediakan MoF, dan kita telah minta tambahan sehingga 7,000 terminal di seluruh negara. Kita harap perkara ini dapat diuruskan segera dengan kerjasama pasar raya terlibat,” jelasnya.
Baca juga:








