Hari pertama SARA: 850,000 penerima belanja RM50 juta

PUTRAJAYA: Hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat dewasa semalam mencatatkan sambutan luar biasa apabila kira-kira 850,000 penerima berbelanja lebih RM50 juta setakat jam 9.30 malam tadi.

Namun menurut Kementerian Kewangan (MoF), lonjakan transaksi itu menyebabkan sistem pembayaran melalui rangkaian MyKasih mengalami penurunan prestasi di beberapa lokasi.

“Walaupun sistem beroperasi dengan lebih perlahan, semua transaksi masih diterima dan diproses.

“MoF bersama MyKasih telah meningkatkan kapasiti sistem agar mulai 1 September, pembelian melalui SARA dapat berjalan lancar tanpa gangguan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Pihak MyKasih juga akan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem segera bagi memastikan kestabilan sepenuhnya.

MoF dalam pada itu memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan memberi jaminan pemantauan rapi diteruskan.

Setakat ini, SARA secara purata mengendalikan sekitar 600,000 transaksi harian, namun jumlah semalam jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

Kementerian turut mengingatkan bahawa kredit RM100 one-off SARA sah digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar seluruh negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat