BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan Malaysia terhadap inisiatif tadbir urus global yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping, sambil menyifatkannya selaras dengan prinsip keadilan, kemanusiaan dan multilateralisme.
Berucap pada mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), Anwar berkata inisiatif itu hadir pada saat sistem antarabangsa berdepan defisit kepercayaan akibat kegagalan menangani isu perdagangan, kewangan, perubahan iklim serta konflik global.
“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini dilihat gagal membawa aspirasi sebenar untuk melakukan pembaharuan. Perbezaan antara cita-cita dan realiti kian melebar, sehingga membiarkan ketidakadilan dan kekejaman berlaku tanpa dihukum,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, sokongan Malaysia berasaskan pendekatan sederhana dan seimbang, selaras dengan ajaran Confucius iaitu menekankan keadilan, belas kasihan, undang-undang dan kerjasama yang diterjemahkan melalui tindakan praktikal.
Dalam ucapannya, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada China kerana menjadi rakan yang konsisten dan boleh dipercayai kepada Malaysia serta ASEAN, termasuk melalui kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China pada Julai lalu.
Beliau menegaskan, penolakan terhadap kolonialisme, imperialisme, keangkuhan kuasa serta penindasan manusia wajar dijadikan iktibar perjuangan bersama, khususnya ketika dunia masih menyaksikan kekejaman berterusan di Gaza dan Palestin.
“Kekejaman terhadap bayi dan kanak-kanak yang dibunuh tanpa belas kasihan bukan sahaja berlaku di Gaza, malah turut menjejaskan negara jiran dari Lubnan hingga Iran dan Iraq. Malangnya, masyarakat antarabangsa seakan tidak berdaya menanganinya,” ujarnya.
Anwar menegaskan, Malaysia akan terus bersama China dalam memperjuangkan idealisme tersebut dan meraikan semangat menentang sebarang bentuk penindasan di pentas antarabangsa.
Baca juga:








