PETALING JAYA: Malaysia menetapkan sasaran menerima 47 juta pelancong antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama pelancongan dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu diputuskan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 Bil. 1/2025 pada Selasa sambil menegaskan usaha ini memerlukan perancangan rapi dan kerjasama erat semua pihak.
“Tahun lalu sahaja, Malaysia menerima 38 juta pelawat antarabangsa, peningkatan 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Pelancongan domestik pula merekodkan 260.1 juta pengunjung. Angka ini bukti Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan utama dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Fokus VM2026 adalah menarik pelancong berbelanja lebih tinggi dengan tempoh tinggal lebih lama, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat. Promosi agresif, kerjasama dengan syarikat penerbangan, agensi pelancongan serta penawaran pakej unik bakal menjadi pemacu utama.
Antara tarikan yang diberi penekanan termasuk ekopelancongan, produk beli-belah, acara kebudayaan, dan tarikan bermusim yang boleh meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran antarabangsa.
Beliau turut menegaskan kejayaan VM2026 hanya dapat dicapai dengan sokongan semua pihak termasuk kerajaan negeri, pemain industri dan rakyat.
“Insya-Allah, bersama-sama kita akan menjulang nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia,” tambah beliau.
VM2026 dijangka menjadi platform penting untuk merancakkan industri pelancongan pasca pandemik dan memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh.