Sistem DEEP Tingkat Prestasi Perkhidmatan Awam – KSN

PETALING JAYA: Pelaksanaan sistem Demerit Performance Evaluation (DEEP) telah menunjukkan kesan ketara terhadap peningkatan prestasi perkhidmatan awam negara khususnya dalam kalangan Ketua-Ketua Setiausaha (KSU) kementerian sepanjang Suku Kedua Tahun 2025.

Malah, pendekatan baharu ini turut berjaya menarik semula keyakinan rakyat terhadap tadbir urus kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu hantaran di Facebook berkata, DEEP bukanlah bertujuan menghukum penjawat awam, sebaliknya berfungsi sebagai sistem pemantauan dan semak imbang yang mendorong penambahbaikan berterusan.

“Saya telah meneliti keputusan laporan Demerit Performance Evaluation (DEEP) terhadap prestasi Ketua-ketua Setiausaha (KSU) Kementerian bagi Suku Kedua Tahun 2025 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“DEEP merupakan sistem penilaian prestasi berasaskan objektif diperkenalkan buat pertama kali dalam sejarah perkhidmatan awam negara pada tahun ini,” katanya.

Menurut Shamsul, meskipun penilaian tersebut hanya meliputi enam bulan pertama tahun ini dari Januari hingga Jun, hasilnya sudah menunjukkan peningkatan signifikan dalam pelaksanaan agenda reformasi penyampaian perkhidmatan, kelancaran pelaksanaan projek, serta pengukuhan integriti kepimpinan awam.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa pendekatan baharu dan unik melalui DEEP telah mula menampakkan keberkesanannya dalam tempoh yang singkat.

“Pelaksanaan DEEP adalah selari dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menyokong usaha kerajaan dalam merealisasikan perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan memenuhi keperluan rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, impak awal DEEP dapat dilihat melalui empat aspek utama yang menjadi tonggak penilaian iaitu pengurusan kewangan, pengurusan projek, akauntabiliti dan integriti, serta kepimpinan dan personaliti.

Sistem DEEP yang diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ini dilihat sebagai satu langkah berani dan progresif dalam memperkukuh budaya prestasi serta mempercepatkan transformasi perkhidmatan awam ke arah lebih telus dan responsif.

Anda Mungkin Berminat