PM Seru Proton Perluas Pasaran EV

TANJUNG MALIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Proton agar melangkah lebih jauh dalam industri automotif dengan memperluas pasaran kenderaan elektrik (EV) ke peringkat antarabangsa, seiring usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau.

Berucap pada Majlis Pelancaran Proton Electric Vehicle Plant di Tanjung Malim, Perak, Anwar berkata, kejayaan dalam pasaran domestik tidak seharusnya menjadi titik akhir bagi jenama nasional itu.

“Kerajaan memberi sokongan penuh kepada penghasilan EV Proton, sekali gus selaras dengan dasar peralihan tenaga bersih negara.

“Kita tidak boleh ketinggalan dalam teknologi automotif baharu.

“EV adalah masa depan, dan Proton perlu menjadi peneraju bagi membuktikan kemampuan anak tempatan,” katanya.

Beliau turut memuji kerjasama erat Proton dengan pelbagai pihak, termasuk syarikat automotif China, Geely, yang disifatkan sebagai pemangkin utama dalam mempercepatkan pembangunan teknologi EV.

Anwar menekankan bahawa pembangunan kilang EV bukan sahaja memberi manfaat kepada Proton tetapi turut memperkukuh keseluruhan ekosistem industri automotif negara.

Menurutnya, ia dilihat mampu menarik pelaburan asing dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.

“Dengan adanya kilang EV ini, manfaatnya bukan hanya kepada Proton tetapi kepada seluruh ekosistem industri.

“Kita mahu rakyat Malaysia khususnya anak muda, diberi peluang bekerja dalam sektor berteknologi tinggi,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan Proton agar terus meningkatkan daya saing agar mampu berdiri setanding dengan jenama antarabangsa lain.

Anda Mungkin Berminat